PSS3103: KECEKALAN PEMIMIPIN MENTADBIR NEGARA

Kecekalan pemimpin bawa negara harungi pemodenan

SELEPAS 48 tahun mengharungi arus kemerdekaan dan merasai nikmatnya, tidak syak lagi kita perlu terus membina negara sebagai sebuah bangsa bersatu padu bagi memastikan kita dapat mengatur langkah dengan penuh yakin.

Ini membolehkan kita menghadapi bersama-sama pelbagai dugaan, cabaran dan rintangan bagi memajukan lagi negara. Jika diimbas kembali zaman sebelum dan menjelang kemerdekaan, memanglah benar tidak ramai yang berani meramal atau menyangka Malaysia bakal berada pada tahap pembangunan dan kemajuan seperti kedudukan dan keadaan kita hari ini.

Perjuangan, pengorbanan, perancangan serta wawasan barisan kepemimpinan kita yang jelas menghayati dan mengamalkan konsep bersatu padu, bermuafakat dan mengorak langkah bersama-sama bagi membina negara, berjaya membawa kita ke tahap kita berada kini. Justeru, kita tidak harus melupakan malah perlu sering memperingati dan terus menyanjung semangat serta ketegasan pemimpin terdahulu.

Bagi mereka yang sama-sama berjuang menegakkan kemerdekaan, jasa mereka tetap disanjung, manakala bagi yang lahir selepas merdeka, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk tidak mensia-siakan pengorbanan pejuang kemerdekaan yang begitu berjasa kepada bangsa dan negara.

Allahyarham Tunku Abdul Rahman berjuang bagi mencapai kemerdekaan, Tun Abdul Razak Hussein berusaha gigih untuk mengisi kemerdekaan dengan membawa pembangunan dan seterusnya Tun Hussein Onn memerah keringat bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum, sedang Tun Dr Mahathir Mohamad giat berusaha menentang arus dan tidak mengenal erti gagal untuk mencipta pemodenan seperti yang kita nikmati sekarang.

Kelangsungan perjuangan membina terus kekuatan dan pembangunan negara kini dipikul oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang mahu negara menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Dalam menempuh setiap dekad yang penuh cabaran dan pergolakan dengan krisis kewangan 1997 hingga 1998 antara yang paling getir dalam arus perkembangan ekonomi negara dan serantau, kita harus akui taraf hidup rakyat telah jauh berubah.

Pendapatan isi rumah kini sudah jauh meningkat, manakala kadar kemiskinan semakin kecil - satu pencapaian amat memberangsangkan. Seperti kata Perdana Menteri dalam amanat beliau malam tadi, rakyat telah memperoleh kehidupan lebih berkualiti yang akhirnya secara tidak langsung meningkatkan jangka hayat mereka.

Dari segi penyediaan prasarana, perlu diakui kita memiliki kemudahan bertaraf dunia pertama sedang dalam sektor perdagangan, kita kini sebuah negara pengeksport yang terbesar. Dunia juga turut mengiktiraf peranan dan kepemimpinan kita dengan kepercayaan diberikan untuk memimpin Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Namun kita harus berwaspada dan berusaha memastikan kemerdekaan dan kedaulatan negara terus dipertahankan. Sedarilah bahawa merdeka adalah kebebasan dan Malaysia mesti bebas untuk memilih apa yang terbaik untuk warganya.


Bagi mempertahankan terus apa dicapai, Malaysia mesti kaya ekonomi, kukuh politik dan kuat budaya bersaing serta maju secara berterusan iaitu setiap rakyat mesti ada ciri-ciri semangat Malaysia Boleh!.

Sepatutnya nilai seperti sopan santun, semangat kekeluargaan yang kental, saling hormat-menghormati, budaya kuat untuk menjalin silaturrahim tidak harus dibiarkan hilang ditelan urbanisasi apatah lagi dalam era globalisasi. Dalam kita terus menapak lebih jauh lagi dalam arus kemajuan nilai kekeluargaan di tengah persekitaran perbandaran tidak syak lagi memberi cabaran lebih hebat.


Kita juga perlu cekal membina kekuatan bagi menghadapi tahun mendatang seperti yang ditekankan Perdana Menteri, setiap daripada kita ada peranan untuk dilaksanakan tetapi ia perlu dilakukan dengan penuh bertanggungjawab, jujur, cekap dan berintegriti dengan matlamat mencapai kejayaan tertinggi dan terbaik supaya dunia menghormati kita.

Sebenarnya rakyat Malaysia boleh dan mampu pergi lebih jauh lagi dengan syarat segala idea dan pandangan dikongsi bersama dan segala potensi yang ada dalam diri kita dimanfaatkan sepenuhnya. Selama ini pun segala kemajuan kita lalui dan nikmati adalah hasil perpaduan dan di sinilah letaknya kekuatan dalaman kita iaitu bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama, malah tentunya kita semua mahu hidupkan semangat 'negara kita, kita bina bersama'.


No comments:

Post a Comment