PSS 3106-Doktrin pengasingan kuasa

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Doktrin pengasingan kuasa yang membabitkan tiga cabang kerajaan iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman adalah berkesan di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata pengasingan kuasa itu menyebabkan kes-kes yang dijalankan di mahkamah tidak akan dicampuri mana-mana pihak dan terdapat kes yang langsung tidak memihak kepada eksekutif.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang inginkan penjelasan bahawa Mahkamah Persekutuan pada 2007 memutuskan bahawa doktrin pengasingan kuasa tidak berlaku di negara ini.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) mengenai rasional meletakkan Majistret dan Hakim Mahkamah Sesyen di bawah kuasa Pejabat Peguam Negara, Mohamed Nazri berkata ia sebenarnya terletak di bawah tanggungjawab Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

"Pejabat Ketua Pendaftar ini terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri dan bertanggungjawab mentadbir mahkamah di seluruh negara merangkumi Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah (Majistret dan Sesyen).

"Semua Majistret dan Hakim Mahkamah Sesyen yang dilantik adalah anggota Perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman," katanya.

Mohamed Nazri berkata pelantikan Majistret di Wilayah Persekutuan pula adalah melalui Yang di-Pertuan Agong manakala di negeri lain, mereka dilantik oleh Sultan atau Yang Dipertua Negeri atas syor Ketua Hakim Negara.

Menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mengenai tidak ramai peguam berkualiti menyertai badan kehakiman untuk menyelesaikan kes tertunggak dan sebagainya, Mohamed Nazri berkata antara lain, masalah itu berpunca daripada gaji yang dianggap rendah dalam badan kehakiman berbanding swasta.

"Dalam pelarasan gaji baru-baru ini, gaji sebulan Hakim Mahkamah Tinggi adalah antara RM13,000 dan RM17,000, gaji Hakim Mahkamah Rayuan pula antara RM13,600 dan RM18,500, manakala gaji Ketua Hakim Negara adalah RM25,000 saja," katanya.

Beliau berkata untuk mengatasi masalah itu, beliau dan Ketua Hakim Negara bersetuju mewujudkan skim sementara dengan menggalakkan pengamal undang-undang menyertai badan kehakiman bagi tempoh dua tahun.

"Mereka akan dilantik sebagai Pesuruhjaya kehakiman bagi tempoh itu bagi membantu menyelesaikan kes-kes tertunggak. Selepas dua tahun itu, mereka boleh keluar daripada badan kehakiman," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment